IRASSHAIMASE!!!!!

Sunday 3 December 2017

Hilang

Petang itu
Dengan rencana yang sederhana,
Kita berpetualang,
Menulis ceritera tentang kita.

Bawah pohon
Dengan perangkatan yang sederhana,
Kita bikin cerita,
Untuk dunia kita.

Menatap mentari turun
Bawah sinar mega senja
Kita tertawa
bahagia.

Mentari hilang beransur
Dan kau pun begitu,
Tenggelam bersama waktu.

Sirna.

Kau ada.
Tapi tiada.

Namanya Bintang

Merayu pada bintang,
Moga tambah terang,
moga tambah akrab,
Semoga tambah dekat.

Dan namanya Bintang,
Bila-bila saja dia boleh hilang,
Nanti, bila cahaya buram,
dia kembali gemilang.

Yang jelas, hari ini dia hilang.

Majnunku Bukan Gila

Kasih dan asyik aku pada dia,
Bagai tak berhulu.
Aku mampu lupa, namun hilang tidak.
Bagai terlukis atas batu,
hilangnya jejak lukis, ditindan lumut hijau gelap
dikikis pakai kuku, wujudnya utuh,
masih disitu.


Aku bagaikan si majnun yang cuba lepaskan pancang realita,
Sedang si laila tak lebih daripada fatamorgana,
Hilang tali pedoman arah
Maka, jadilah aku si majnun yang gila
dek hikayat cintanya tak jadi nyata.


Haruskah aku jadi hamba yang majnunnya sesia?
Yang hidup matinya, bagai debu halus nan kasang
Meski ditiup pawana selembut nafas,
Lenyapnya bisa tak berjejak.
Wujudnya tinggal mayapada.


Akulah si majnun yang takdirnya tidak tertulis untuk seorang Laila,
Namun biarlah majnunku itu, bererti aku berbeza.
Biarlah Lailaku itu, jadi laksana Yusuf,
Menjadi pangkal kembalinya pasrah Zulaikha pada yang Maha Indah,


Moga tuhan tidak biarkan rebahnya aku
tinggal sekadar parut tidak bermakna,
Moga Dia membiarkan aku merasa
hadir rindu dan cinta untuk-Nya yang lebih istimewa
dalam lail demi lail yang menghidupi,
Jadi detik rahsia kami untuk aku bersunyi
mengadu rindu, nestapa, walang dan cerita. Meluah rasa.


Biar saja mereka menggelar aku si majnun.
Namun majnunku bukan bererti gila
Tetapi majnunku hanya kerana aku luar biasa.

Karma

Kau senyum
Ganalnya tiada apa.
Tapi, ada bayang
sembunyi di balik membran mata
lindung kilap yang biasa terbersit
dari pupil yang bercahaya.

“Untuk kau, apa saja tak apa.”
kau kata.
Dan senyum itu,
ironinya,
menanggang lenaku.
Rasa galat itu mengejar aku
bagai hantu, jadikan aku paranoia.
Gerun pada yang namanya;
AKU.

Remuk



Sepi, pengap dan legap
Teduh ditimbun sarap
Diteman bangkai dan mayat.

Tercungap menyambung hayat
Mencuri secabik hawa
Agar kekal sigap
Tegap.

Hidup.
Aku mahu hidup
Namun faringku sesak
Venaku rabak.

Mimpi-mimpi yang Terhenti



Susunan aksara nan misteri
Datang menghantui, bagai igau ngeri
Seolah-olah aturan fikiran, semua jadi basi
Bingkisan ilusi tidak menjadi

Jemari berhenti berlari
Papan kekunci pegun laksana nyali
Bila fantasi terbelit temali

Ceritera seorang tok dalang jadi sepi
Sampai nanti mimpi-mimpi menari lagi.

The Air in My Heart

You are wind like
it seems like you come and go as you like
Never realized you were there
until I closed my eyes
and hear you voice singing to my heart.

Sometimes, you are the hurricane 
- fierce and turbulent,
Sometimes, you are the mild wind
- fondle my cheeks and give me the warmth feeling
But always, you are the still air
and I rarely recognized you were there.  

Thursday 30 November 2017

The Jaded Heart

Then,
the darkness squeezing the jaded heart
        tighten the hug to the cold soul
        until it is even hard to breath.
Letting go all the warmth and lust
        until there are nothing left.
The pierced fantasies and dreams
                   withering like roses
          in the end of October night.
Fallen on the dry sand,
carried by the autumn breeze,....gone.
Knockout. 

Aku yang Lupa

Berlari atas angin
Berlumba dengan awan
Mengejar nikmat hidup 
Yang terasa begitu sayup

Lama,
Lama aku tinggalkan
Bait-bait kata cinta
Kalam-kalam berunsur rindu
Ayat-ayat syahdu pembelai kalbu

Entah bagaimana
Nyanyian indah dari syurga
Datang dari jauh dibawa pawana
Singgah di sini
Meresap hingga hujung hati

Wahai hati, selama mana kau mahu lari?
Wahai jiwa, sejauh mana kau mahu pergi?

Mengapa aku lupa?
Bagaimana bisa aku lupa? 
Nikmat paling berharga yang tuhan beri, bagaimana dapat aku lupa?

Aku di sini, dalam dunia ini
Berlari dan berlari lagi enggan berhenti
Jatuh, bangkit lalu jatuh lagi
Tetap tak mahu berhenti
Mengejar dan terus mengejar 
Tidak mahu mengalah
Sampai nafas terasa berat, penat.
Lelah dan rasa bersendiri. Sepi dalam ramai.

Sampai bila? Sampai bila aku mahu berlari?
Sekuat mana lagi harus aku berlari?
Siapa lagi? Siapa lagi yang mahu aku kejari?
Naik satu tangga, tetap akan ada yang lebih tinggi. 
Jadi manusia, masih enggankah engkau berhenti?

Mencuba begitu kuat, sedang tiada apa yang berubah.
Tetap pegun pada titik mula. Bingung. 
Aku lupa. Sudah berapa lama aku lupa? 

Sebenarnya, aku ada Kamu, Yang Maha Kaya.

Rindu

Jatuh aku dalam sayu
Bila teringat kamu
Dalam nuansa lagu
petik gitar nan syahdu.

Apakah kau tahu, apa itu rindu?

Tuesday 10 October 2017

Ironis



Lelaki tua
berbaju kelabu nan kumal
lencun berendam keringat
wajah becak berminyak
diterjang terik panas.

Gigih
terbersit dari mata
demi cinta kasih
yang menanti di rumah.

Karung hitam padat
digandar dengan tangan yang pegal
memerah daya.

Walau disagat lesu,
senyum tetap diukir
pada lelaki berkemeja
yang kelihatan durja.




Saturday 23 September 2017

Habis.

Nyanyian jiwa terhenti
Jalan tersengkang mati
dan hati, nyali

Pergi. Nekad undur diri
tanpa berfikir dua kali
Kemudian ingin kembali lagi

Habis. Segalanya telah habis
dan hati terasa semakin ngeri
ikut rasa egois
Lantas, segala liang tersemat rapi. 

Friday 18 August 2017

Belum punya tajuknya, dong... Ada idea?

EPILOG

Lily mencelah masukkan tubuh dan beg galasnya di ruang antara kerusi dan besi penghadang pintu – mengelak himpitan kaum berlawanan jenis yang majoriti membuat kelompok kecil di tengah ruang yang berlaku secara sengaja mahupun tidak. Manusia pelbagai bangsa, peringkat usia, gaya berpakaian dan jantina masih berpusu-pusu masuk – kebanyakannya tanpa peduli ada orang yang sedang cuba untuk keluar; tidak mempedulikan arahan yang selayaknya diikut demi kemaslahatan umat. Train sebelah berhenti; menurunkan dan menerima penumpang baru. Lily memutarkan kepalanya ke sisi sebelah kiri – mengintai cermin train sebelah yang masih berhenti; mungkin sedang menjerit menderita akibat disumbat berpusu-pusu oleh ratusan manusia yang ragamnya pelbagai; berkejar ke destinasi yang tersendiri. Kenderaan yang dinaiki mula bergerak perlahan-lahan.

Anak matanya berlari ke arah pukul dua. Sesuatu menarik perhatiannya. Sepasang pasangan yang menarik berada dalam koc sebelah. Seorang lelaki lampai dengan rambut panjang mencecah bahu tidak berikat, bersama-sama dengan seorang gadis kurus yang sedang bersandar pada besi pemegang yang berada berhampiran dengan susunan horizontal kerusi merah yang rapat pada dedinding train. Mata milik kedua-duanya lurus berkongsi skrin tablet – menonton sesuatu darinya. Mereka bukan sahaja berkongsi skrin tetapi, Lily dapati pada telinga lelaki itu menjulur tali earpiece yang sebelahnya lagi kelihatan muncul dari bawah tudung kuning cair di bahagian bahu sebelah kiri gadis yang berdiri di sebelahnya itu. Sepasang fon telinga dikongsi berdua – tentu sekali hubungan mereka sangat akrab. Walau tanpa ada bicara yang sedang berlangsung antara mereka, Lily dapat agak, mereka berdua sedang saling menikmati setiap momen bersama-sama – berkongsi cerita yang sama.

Tidak boleh tidak, jantung Lily melangkau satu degupan. Dan paru-parunya mengembang menakung udara yang enggan lepas. Dadanya sakit. Sesak.

BAB 1

Kaki lima bangunan jabatan aku susuri perlahan. Cuba mencari kalau-kalau ada air muka yang cukup ramah untuk aku tegur ataupun bakal menegurku untuk dijadikan kawan pertama di jabatan. Kalau bernasib baik nanti mungkin akan bakal sama kelas. Itu pasti lebih baik. Mataku menangkap adanya meja kosong yang boleh aku jajah. Maka, tas berat yang berisi komputer riba aku labuhkan atas meja, melegakan tulang temulang bahuku yang beransur lenguh.

Di meja batu itu aku berpura-pura menumpukan perhatian pada skrin komputer riba yang baru menyala walhal sebenarnya, anak mataku lebih kerap berlari ke ekor mata, mencari wajah-wajah baik yang berkemungkinan boleh dijadikan kawan. Sebenarnya aku lebih berharap mereka yang menegur aku dahulu. Sebab aku, entah mengapa, sebenarnya terlalu malu untuk menjadi orang yang memulakan  perbualan. Bukannya sebab aku sombong atau terlalu ego untuk menegur terlebih dahulu, tetapi, bila aku cuba untuk memulakan bicara, aku bagaikan kehilangan kata-kata - senarai vocabulary yang ada terkumpul dalam neuron-neuron otak dalam tempoh dua puluh tahun ini jadi berterabur semua lantas suasana secara automatik menjadi janggal.

Anehnya, bila orang lain yang memulakannya terlebih dahulu, aku dapat meneruskan sebarang topik perbualan yang bangkit tanpa sebarang masalah selagi orang itu tidak memberi aku aura kegelapan yang menjengkelkan. Namun begitu, aku sedar betapa optimistiknya aku hingga sangat jarang sekali aku merasa jengkel pada sesiapa. Kesimpulan yang aku buat sendiri dalam konteks ini adalah, aku kurang keyakinan diri, mungkin. Aku terlalu takut untuk memulakan perbualan kerana bimbang jika aku yang memilih untuk berteman dengan seseorang, mereka tidak memilih aku untuk dijadikan kawan. Macam mana kalau orang yang aku harapkan untuk menegur aku; insan kesepian, keseorangan yang sedang tersadai di sini, pemalu semuanya? Entah. Atau mungkin sebenarnya aku hanya ditindas oleh egoku sendiri yang bersembunyi di sebalik tebalnya lipatan hati yang hitam tak tertembuskan.

“Hello,… Hai,..” Secara refleks anak mataku berputar ke atas, memandang dua orang gadis cina yang baru saja menyapaku. Aku membalas dengan senyuman yang seboleh mungkin aku mesrakan. Namun jelas, senyuman yang terpamer pasti aneh dan kelihatan janggal.

“Boleh kita orang duduk sini?” soal salah seorang daripada mereka tanpa ada pelat kecinaan. Maka, menurut analisa minda sosiologi bawah sedar aku, (chewah,..), dia adalah cina pisang yang lebih fasih berbahasa melayu atau Inggeris berbanding bahasa ibundanya sendiri. Istilah ‘cina pisang’ adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada bangsa cina yang tidak pandai berbahasa cina atau tidak fasih berbahasa cina. Kadangkala mereka boleh bercakap dalam bahasa tersebut namun, tidak mampu membaca tulisan hanzi yakni tulisan cina itu sendiri. Setahu aku, pada era ini, ramai yang seperti ini di Malaysia dan Singapura. Seperti mana buah pisang yang kuning kulitnya namun putih isinya; mereka adalah bangsa yang cina luarannya namun tidak cina di dalamnya. Bukan aku yang cakap begitu, tetapi itu adalah peribahasa kaum mereka sendiri.

Sebagai pelajar ambilan sesi ketiga; yakni pelajar yang sebenarnya boleh dianggap sebagai pelajar yang tidak berjaya masuk ke universiti namun berjaya pada saat-saat akhir disebabkan keajaiban rayuan, ketidak cukupan kuota universiti bagi mana-mana kursus, mahupun bantuan kabel yang hebat kuasanya, aku berjaya menjejak masuk ke universiti sebagai pelajar pun selepas semua program universiti untuk pelajar-pelajar baru; pendaftaran subjek minor dan major; selesai. Makanya, aku tidak mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dikatakan gempak sangat itu. Impaknya, siapa pun aku tak kenal. Padan muka aku. Siapa suruh dapat result teruk masa STPM yang lalu.

Aku semakin melebarkan senyuman yang canggung. “Duduklah,…” jawabku sepatah. Aku rasa, suara yang keluar seperti suara orang yang baru lepas berkumur dengan Listerine berwarna kuning yang pedas yang amat. Tanpa berlengah, mereka segera melabuh punggung di sebelah dan di hadapanku.

Aneh. Perbualan mereka berlangsung dalam bahasa Melayu kedua-duanya. Hanya sedikit diselang-selikan dengan istilah bahasa Inggeris yang mudah dan kata ganti diri I-you. Situasi seperti ini meletakkan aku dalam jurang perasaan ingin tahu yang mendalam. Satu tentang aku, jika anda mahu tahu, perasaan inkuiri aku kuat. Jika aku adalah seekor kucing, maka, aku adalah kucing yang akan mati sebelum sempat mencapai usia dewasa pun kerana aku adalah spesies yang akan mengais ekor ular yang tidak bergerak untuk menguji sama ada ia masih hidup atau sudah mati, melintas jalanan dengan selaju-lajunya untuk menguji kepantasan aku berlari, aku akan memanjat syiling rumah untuk mencari cicak yang berdecak-decak bunyinya pada malam yang hening. Maka,…

“Sorry for interrupting your conversation. But, are you both Chinese?’ Anak mataku bergerak memandang mereka secara bergilir-gilir. Ah, ketepikan rasa malu yang menebal. Biar malu sekejap daripada dihantui rasa ingin tahu selama-lamanya. Kalau aku diamkan saja, mungkin saja aku akan menyesal kerana tidak bertanya sehingga hari kematianku. Okay, aku memang suka melebih-lebih.

P/s: Satu lagi tentang aku, inkuiri yang mencanak-canak itu selalunya berlaku pada hal-hal yang tidak penting. Kadang-kadang, aku dihantui rasa ingin tahu hingga dikejar-kejar ke dalam mimpi. Sangat menakutkan. Maka dengan ini, aku tegaskan bahawa, malu sekali itu lebih baik daripada ‘bodoh’ selamanya. Lagipun, bukankah wujud peribahasa moden orang putih yang boleh ditemui dalam lagu Iggy Pop - Curiosity; yang berbunyi “curiosity kills the cat, but satisfaction brought it back.” Maka, apalah sangat rasa malu bertanya berbanding kepuasan hati yang bakal aku kecap.

Mulanya, wajah mereka kelihatan sedikit terkejut dengan soalan aku yang sungguh tiba-tiba dan seperti begitu random itu. Namun, seketika cuma. Sesaat dua kemudian, salah seorang daripada mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku. Aku sempat curiga tapi bagaikan ada yang mengawal gerak tubuhku, aku dengan patuh menyambut huluran itu sambil anak mataku masih tekun memandang wajahnya yang sungguh lembut itu.

“My name is Ain. Ain Amani.” Ujarnya seraya memperkenalkan dirinya sambil menggenggam tanganku dengan lebih erat. Pegangannya sangat padat dan kejap. Dalam aspek psikologi, ini menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang berkeyakinan tinggi dan tetap pendirian. “Lily.” Aku memperkenalkan diriku dengan hanya sepatah perkataan – dengan hanya potongan awal namaku yang sungguh universal itu. Ain dan temannya mengangguk sebagai reaksi atas pemberitahuan aku itu. Ain senyum lebar.

“Dengan nama aku tu, obviously-lah aku malay, kan?” Ujar Ain sambil melepaskan genggaman tangannya. Aku ketawa kecil sambil mengangguk. Selepas memandang wajahnya secara terus ini, baru aku perasan bahawa matanya sungguh bulat. Memang bukan mata cina tipikal yang sering aku lihat. Jelas lagi dia miliki double eyelid yang sangat cantik!

“Yeah, I thought you both are Chinese. But, your malay impressed me. Tak pelat langsung.” Aku melahirkan rasaku. Ain ketawa kecil. Meskipun tawanya kecil, matanya yang tadi bulan penuh kini nyaris jadi anak bulan. Kalau garis matanya boleh hilang, memang anak bulanlah jadinya.

“But still, you should impress anyway. She is Angeline Feelin' Yang. Chinese; obviously.” Aku ternganga. Angeline yang duduk di hadapanku ketawa tanpa suara. Tangan kanannya menutup mulutnya yang separa ternganga. Adakah reaksiku ketika ini sungguh lucu? Ya, aku yakin wajahku sangat kelakar sekarang. Pasti rahangku jatuh hingga paras dada dan mataku terjegil hingga nyaris tersembul keluar dari bulatan soketnya. Bila membayangkannya, aku sendiri rasa diri aku sungguh kelakar tahap dewa. Maka, tanpa dibuat-buat aku turut sama-sama ketawa.

“Cup,..cup,.. Serius Angeline Feeling Young?” Aku bertanya lagi setelah tawa reda. Sekali lagi gadis berdua itu tertawa. Mudah terhibur sungguh. Saya suka,… saya suka,…