Kasih dan asyik aku pada dia,
Bagai tak berhulu.
Aku mampu lupa, namun hilang tidak.
Bagai terlukis atas batu,
hilangnya jejak lukis, ditindan lumut hijau gelap
dikikis pakai kuku, wujudnya utuh,
masih disitu.
Aku bagaikan si majnun yang cuba lepaskan pancang realita,
Sedang si laila tak lebih daripada fatamorgana,
Hilang tali pedoman arah
Maka, jadilah aku si majnun yang gila
dek hikayat cintanya tak jadi nyata.
Haruskah aku jadi hamba yang majnunnya sesia?
Yang hidup matinya, bagai debu halus nan kasang
Meski ditiup pawana selembut nafas,
Lenyapnya bisa tak berjejak.
Wujudnya tinggal mayapada.
Akulah si majnun yang takdirnya tidak tertulis untuk seorang Laila,
Namun biarlah majnunku itu, bererti aku berbeza.
Biarlah Lailaku itu, jadi laksana Yusuf,
Menjadi pangkal kembalinya pasrah Zulaikha pada yang Maha Indah,
Moga tuhan tidak biarkan rebahnya aku
tinggal sekadar parut tidak bermakna,
Moga Dia membiarkan aku merasa
hadir rindu dan cinta untuk-Nya yang lebih istimewa
dalam lail demi lail yang menghidupi,
Jadi detik rahsia kami untuk aku bersunyi
mengadu rindu, nestapa, walang dan cerita. Meluah rasa.
Biar saja mereka menggelar aku si majnun.
Namun majnunku bukan bererti gila
Tetapi majnunku hanya kerana aku luar biasa.