IRASSHAIMASE!!!!!

Tuesday 24 April 2018

Dia yang aku bohongi

Tuhan yang sering aku bohongi, terlalu baik
Walau sebesar apa bohongku, tidak Dia biar aku jatuh,
Kalaupun aku jatuh, tidak Dia biar aku lemas,
walhal dia tahu sebesar apa khilafku.

Walaupun terlalu banyak dosaku,
tidak Dia biar aku sesat sendiri.
Aku berlari pergi,
perlahan dan lembut Dia menarikku untuk kembali.

Aku letakkanNya entah di tangga ke berapa,
entah di selepas apa,
tapi tidak sesaat aku, Dia lupa.
Tetap dilimpahkanku dengan segala nikmatNya yang aku dusta.
Sedang Dia, tidak satu jatah nafaspun Dia renggut pergi
walau banyak suruhnya yang aku buat tak peduli.

Tuhanku itu, terlalu baik.
Semoga Dia tidak lepas jadikan aku juga baik.

Amiin.


Thursday 19 April 2018

Foto dan Warna







Kata orang, "Jika anda memotret foto orang dalam warna, anda memotret pakaian mereka, tapi, jika anda memotret mereka dalam hitam putih, maka, anda memotret jiwa mereka." Aku yang selalunya bersetuju dengan apa saja kata dan pendapat, bersetuju untuk tidak bersetuju dengan kata-kata ini.

Sebab, bagi aku:

Warna adalah medium visual yang paling berkesan dalam penyampaian mood dan perasaan. Warna adalah tentang rasa dan idea. Perbezaan tona warna memberi konotasi yang berbeza bagi rasa dan mood lantas menyampaikan tafsiran yang pelbagai hanya daripadanya. Mikroekspresi yang dikesan dengan garis-garis halus pada wajah dapat diabadikan dengan adanya warna dalam foto. Dalam gambar pemandangan pula, warna memain peran paling utama untuk memberi perasaan pada foto tanpa wajah, lantas memberi 'jiwa' pada foto tersebut.

Warna hitam putih pula, hampir dapat meminimalkan perbezaan tampak dan kelas. Oleh itu tampang suasana jadi lebih bernilai romantism. Ironi, warna hitam putih juga berkuasa sembunyi garis-garis dan kerut lantas turut sembunyi mikroekspresi dan mood semasa.

Betul, hitam putih mungkin boleh memotret jiwa, tapi, hitam putih juga berkuasa sembunyi rasa.

Warna mungkin boleh mengugah sentimen manusia, tapi warna juga menghargai ekspresi jiwa. 

Aku bukanlah menidakkan kemampuan foto hitam putih menunjukkan jiwa, tapi aku tak rasa, gambar berwarna kurang jiwanya malah, sebaliknya.