IRASSHAIMASE!!!!!

Wednesday 21 March 2018

Akustika cerita kita_epilogue


EPILOGUE

     Lily mencelah masukkan tubuh dan beg galasnya yang padat di ruang antara kerusi dan besi penghadang pintu – mengelak himpitan kaum berlawanan jenis yang majoriti membuat kelompok kecil di tengah ruang yang berlaku secara sengaja mahupun tidak. Manusia pelbagai bangsa, peringkat usia, gaya berpakaian dan jantina masih berpusu-pusu masuk – kebanyakannya tanpa peduli ada orang yang sedang cuba untuk keluar; tidak mempedulikan arahan yang dibebaskan melalui kotak-kotak pembesar suara yang selayaknya diikut demi kemaslahatan umat. 

Train sebelah berhenti; menurun dan menerima penumpang baru. Lily memutarkan kepalanya ke sisi sebelah kiri – mengintai cermin train sebelah yang masih berhenti; mungkin sedang menjerit menderita akibat disumbat berpusu-pusu oleh ratusan manusia yang ragamnya pelbagai; berkejar ke destinasi yang tersendiri. Train yang dinaiki mula bergerak perlahan-lahan.

Anak matanya berlari ke arah pukul dua. Sesuatu menarik perhatiannya. Sepasang pasangan yang menarik berada dalam koc sebelah. Seorang lelaki lampai dengan rambut panjang tidak berikat, bersama-sama dengan seorang gadis kurus yang sedang bersandar pada besi pemegang yang berada berhampiran dengan susunan horizontal kerusi merah yang rapat pada dedinding train. Mata milik kedua-duanya lurus berkongsi skrin tablet – menonton sesuatu darinya. Mereka bukan sahaja berkongsi skrin tetapi, Lily dapati pada telinga lelaki itu menjulur tali earpiece yang sebelahnya lagi kelihatan muncul dari bawah tudung kuning cair di bahagian bahu sebelah kiri gadis yang berdiri di sebelahnya itu. Sepasang fon telinga dikongsi berdua – tentu sekali hubungan mereka sangat akrab. Walau tanpa ada bicara yang sedang berlangsung antara mereka, Lily dapat agak, mereka berdua sedang saling menikmati setiap momen bersama-sama – berkongsi cerita yang sama, berkongsi perasaan yang sama.


Tidak boleh tidak, jantung Lily melangkau satu degupan. Dan paru-parunya mengembang menakung udara yang enggan lepas. Dadanya sakit. Sesak.





No comments:

Post a Comment