IRASSHAIMASE!!!!!

Wednesday 21 March 2018

Akustika Cerita Kita_fragmen 2


     Siapa sangka, sudah tiga minggu aku menjadi pelajar universiti. Sebagai seorang pelajar sekolah yang disogok dengan keindahan zaman universiti sejak era sekolah rendah lagi, aku membayangkan bahawa kehidupan di universiti begitu gah, penuh kemodenan yang bersinar-sinar dan mengagumkan sekali yang entah mengapa, aku yang menjalani hampir seumur hidupku dalam wilayah metropolitan ini boleh terpedaya dengannya. Maka, menjalani kehidupan di kampus adalah antara impian terbesarku. Impian yang telah berjaya aku capaikan kini meskipun sebenarnya indah khabar dari rupa. Namun, aku tidak dapat menafikan bahawa hidup berdikari di universiti adalah pengalaman baru untukku. Maksud aku, memang aku pernah tinggal di asrama dan buat segalanya sendiri, tapi, di universiti, gayanya berbeza. Di universiti, bagi aku, zaman penilaian sikap dan kepanjangan akal kita yang sebenar sebab kita hidup bebas hampir tanpa peraturan. Tanpa ada orang yang akan marah dan ugut rotan kalau ponteng kuliah, boleh keluar bila-bila ikut suka hati tanpa perlu minta tanda tangan warden dalam buku keluar masuk, tiada siapa yang nak denda kalau balik lewat malam – kalau tidak balik terus pun mungkin tiada siapa peduli. Maka, ianya jelas menjadi satu hikayat yang harus aku nikmati jalan ceritanya.  

“Amirul,….Amirul,…” Ain melepas dengusan halus. Anak matanya memandang tepat wajahku. Matanya bagai mata anak kucing yang sedang meminta bantuan. Tengah keningnya berkedut kerut menunjukkan bahawa dia berada dalam mod serius. Aku angkat kening. Isyarat pertanyaan jika gadis itu memerlukan apa-apa.

Okay. Ada dua Amirul. Aku tak tahu dia yang mana satu.” Ain bersuara sayu. Entah jika dia memang benar-benar sedih berlagu-lagu atau memang dia sedang melebih-lebihkan reaksi perasaan sedihnya itu. “Macam mana niiii,…. Kau tahuuuu keeeee….??” Soalnya polos. Dahi yang sejak dari pagi aku rasa licin bagai baru diseterika, sekarang berkerut dua juta.

Aku ketawa nipis – mengetawakan sikap Ain yang keanak-anakan lagi tidak berasas itu. “Kalau kau tak tahu, aku lagi la tak tahu.” Jawabku serius. Bunyi ‘lagi’ itu aku leretkan dalam kadar tiga harakat untuk menunjukkan betapa tak tahunya aku. Tak mungkinlah aku dapat tolong dia hendak menempati kelas tutorial yang sama dengan Amirul kegemarannya itu kalau dah kenal pun hanya melalui cerita Ain dan Angel. Kalau dah begitu, nama penuhnya mustahillah ada dalam senarai ingatan aku yang sejujurnya memang tidak berminat langsung untuk ambil tahu.

“Antara Muhamad Irsyad Amirul dengan Amirul Hakimi, kau rasa dia yang mana satu?” Soalan Ain buat mata aku membulat lalu terkebil-kebil bagai cicak terkejut getah lastik mendarat dekat. Apa jenis soalan ni? Aku pura-pura ketawa.

“Irsyad Amirul. Confirm!” Aku memberi kata putus sambil menekankan jari telunjukku pada namanya pada papan kenyataan. Ain bulatkan mata – teruja.

“Betul ke?” Masih teruja. “Mana kau tahu?”

“Sebab nama dia sedap. Easy peasy.” Jawabku sambil pura-pura ketawa. Kalau aku mampu berlakon dengan baik, pasti aku akan pura-pura ketawa sambil menjejerkan air mata.

“Jadi, kau rasa, dengan perwatakan dia tu, nama dia Irsyad Amirul?” Kali ini aku gelak betul-betul dengan lawak Ain. Lawaknya boleh buat orang rasa nak marah tapi tak sanggup nak marah.  

Mari sini aku bagi tahu. Sikap dan rupa seseorang tidak pernah menjadi tanda aras yang tepat bagi namanya. Kecualilah kalau nama itu melibatkan rupa macam Amirul Si Tompok, Amirul Janggut, The Sleeping Amirul atau yang sama waktu dengannya.

Aku pandang Ain lama. Tidak tahu apa jenis jawapan yang patut berikan. Akhirnya, “Entah, weh. Kau rasa?”  Ain muncung mulut. Protes dengan sikap tak membantu aku.

“Sumpah. Aku bukannya seorang bomoh tua yang sedang menyamar menjadi seorang pelajar universiti.” Ain ketawa galak. Entah apa yang lucu pada jawapan yang baru aku lafazkan. Memang. Aku bukan sedang buat lawak!


*****

“Li, kau perasan tak?” Farha di sebelah aku pandang sekilas. “Perasan apa?”

“Budak lelaki yang selalu dengan budak lelaki yang Ain minat tu.” Aku angkat bahu. Entah, aku kalau jalan, bukannya perasan sangat pada orang sekeliling. Aku jarang mempeduli walaupun sebenarnya aku peduli juga. Sedikit. Aku sendiri tidak dapat menafikan betapa rajinnya aku buat hal sendiri-sendiri tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Maka, bukan sesuatu yang aneh jika aku tidak mengenali mana-mana individu yang tidak berkait rapat denganku. Apatah lagi kalau berlainan jantina.

“Kau memang,…” Farha menumbuk lembut bahuku. Aku mempamerkan wajah jengkel padanya. Tangan kanan aku bawa ke bahu kiri yang baru ditumbuk dan menggosok-gosoknya lembut.

“Kenapa dengan budak tu.” Meskipun aku sebenarnya tidak berminat pun untuk tahu, aku tetap bertanyakan soalan tersebut. Takkanlah sampai sudah aku nak berlagak tidak supportive. Lihat, aku seorang kawan yang baik, bukan?

Belum sempat Farha buka mulut untuk berlawan kata denganku lagi, dia sudah terdiam. Aku fikir dia kehabisan idea. Tapi, tiba-tiba dia memegang tanganku sambil jari telunjuknya menguis-nguis laju telapak tanganku. Aku yang kegelian segera menarik tanganku yang berada dalam genggaman tangannya. Tapi, bila melihat gerak tuju anak mata Farha, aku faham mengapa dia bertindak sebegitu.

Aku memandang arah yang dipandang Farha dengan penuh rasa ingin tahu. Senyum mengusik pada bibir aku bawa bersama.

Mata itu juga memandangku. Tajam. Beku. Mata kami saling bertatapan. Lama.

Senyumku mati.

Jantungku melangkaui satu degupan.


No comments:

Post a Comment