IRASSHAIMASE!!!!!

Wednesday 21 March 2018

Akustika Cerita Kita_fragmen 1


     Kaki lima bangunan jabatan aku susuri perlahan. Cuba mencari kalau-kalau ada air muka yang cukup ramah untuk aku tegur ataupun bakal menegurku untuk dijadikan kawan pertama di jabatan. Kalau bernasib baik nanti mungkin akan bakal sama kelas. Itu pasti lebih baik. Mataku menangkap adanya meja kosong yang boleh aku jajah. Maka, tas berat yang berisi komputer riba aku labuhkan atas meja, melegakan tulang temulang bahuku yang beransur lenguh.

     Di meja batu itu aku berpura-pura menumpukan perhatian pada skrin komputer riba yang baru bernyala memapar logo tetingkap yang berkelip walhal sebenarnya, anak mataku lebih kerap berlari ke ekor mata, mencari wajah-wajah baik yang berkemungkinan boleh dijadikan kawan. Sebenarnya aku lebih berharap mereka yang menegur aku dahulu. Sebab aku, entah mengapa, sebenarnya terlalu malu untuk menjadi orang yang memulakan  perbualan. Bukannya sebab aku sombong atau terlalu ego untuk menegur terlebih dahulu, tetapi, bila aku cuba untuk memulakan bicara, aku bagaikan kehilangan kata-kata - senarai vocabulary yang ada terkumpul dalam neuron-neuron otak dalam tempoh dua puluh tahun ini jadi berterabur semua lantas suasana secara automatik menjadi janggal.

    Anehnya, bila orang lain yang memulakannya terlebih dahulu, aku dapat meneruskan sebarang topik perbualan yang bangkit tanpa sebarang masalah selagi orang itu tidak memberi aku aura kegelapan yang menjengkelkan. Namun begitu, betapa optimistiknya aku hingga sangat jarang sekali aku merasa jengkel pada sesiapa. Kesimpulan yang aku buat sendiri dalam konteks ini adalah, aku kurang keyakinan diri, mungkin. Aku terlalu takut untuk memulakan perbualan kerana bimbang jika aku yang memilih untuk berteman dengan seseorang, mereka tidak memilih aku untuk dijadikan kawan. Macam mana kalau orang yang aku harapkan untuk menegur aku; insan kesepian, keseorangan yang sedang tersadai di sini, pemalu semuanya? Entah. Atau mungkin sebenarnya aku hanya ditindas oleh egoku sendiri yang bersembunyi di sebalik tebalnya lipatan hati yang hitam tak tertembuskan.

“Hello,… Hai,..” Secara refleks anak mataku berputar ke atas, memandang dua orang gadis cina yang baru saja menyapaku. Aku membalas dengan senyuman yang seboleh mungkin aku mesrakan. Namun jelas, senyuman yang terpamer pasti aneh dan kelihatan janggal.

“Boleh kita orang duduk sini?” soal salah seorang daripada mereka tanpa ada pelat kecinaan. Maka, menurut analisa minda sosiologi bawah sedar aku, (chewah,..), dia adalah cina pisang yang lebih fasih berbahasa melayu atau Inggeris berbanding bahasa ibundanya sendiri. Istilah ‘cina pisang’ adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada bangsa cina yang tidak pandai berbahasa cina atau tidak fasih berbahasa cina. Kadangkala mereka boleh bercakap dalam bahasa tersebut namun, tidak mampu membaca tulisan hanzi yakni tulisan cina itu sendiri. Setahu aku, pada era ini, ramai yang seperti ini di Malaysia dan Singapura. Seperti mana buah pisang yang kuning kulitnya namun putih isinya; mereka adalah bangsa yang cina luarannya namun tidak cina di dalamnya. Bukan aku yang cakap begitu, tetapi itu adalah peribahasa kaum mereka sendiri. 

     Sebagai pelajar ambilan sesi ketiga; yakni pelajar yang sebenarnya boleh dianggap sebagai pelajar yang tidak berjaya masuk ke universiti namun berjaya pada saat-saat akhir disebabkan keajaiban rayuan, ketidak cukupan kuota universiti bagi mana-mana kursus, mahupun bantuan kabel yang hebat kuasanya, aku berjaya menjejak masuk ke universiti sebagai pelajar pun selepas semua program universiti untuk pelajar-pelajar baru; pendaftaran subjek minor dan major; selesai. Makanya, aku tidak mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dikatakan gempak sangat itu. Impaknya, siapa pun aku tak kenal. Padan muka aku. Siapa suruh dapat result teruk masa STPM yang lalu.

Aku semakin melebarkan senyuman yang canggung. “Duduklah,…” jawabku sepatah. Aku rasa, suara yang keluar seperti suara orang yang baru lepas berkumur dengan Listerine berwarna kuning yang pedas yang amat. Tanpa berlengah, mereka segera melabuh punggung di sebelah dan di hadapanku.

     Aneh. Perbualan mereka berlangsung dalam bahasa Melayu kedua-duanya. Hanya sedikit diselang-selikan dengan istilah bahasa Inggeris yang mudah dan kata ganti diri I-you. Situasi seperti ini meletakkan aku dalam jurang perasaan ingin tahu yang mendalam. Satu tentang aku, jika anda mahu tahu, perasaan inkuiri aku kuat. Jika aku adalah seekor kucing, maka, aku adalah kucing yang akan mati sebelum sempat mencapai usia dewasa pun kerana aku adalah spesies yang akan mengais ekor ular yang tidak bergerak untuk menguji sama ada ia masih hidup atau sudah mati, melintas jalanan dengan selaju-lajunya untuk menguji kepantasan aku berlari, aku akan memanjat syiling rumah untuk mencari cicak yang berdecak-decak bunyinya pada malam yang hening. Maka,…
                                                                              
“Sorry for interrupting your conversation." Aku bawa keluar ayat dari zaman MUET. Bajet bagus saja aku rasa."But, are you both Chinese?’ Anak mataku bergerak memandang mereka secara bergilir-gilir. Ah, ketepikan rasa malu yang menebal. Biar malu sekejap daripada dihantui rasa ingin tahu selama-lamanya. Kalau aku diamkan saja, mungkin saja aku akan menyesal kerana tidak bertanya sehingga hari kematianku. Okay, aku memang suka melebih-lebih.

P/s: Satu lagi tentang aku, inkuiri yang mencanak-canak itu selalunya berlaku pada hal-hal yang tidak penting. Kadang-kadang, aku dihantui rasa ingin tahu hingga dikejar-kejar ke dalam mimpi. Sangat menakutkan. Maka dengan ini, aku tegaskan bahawa, malu sekali itu lebih baik daripada ‘bodoh’ selamanya. Lagipun, bukankah wujud peribahasa moden orang putih yang berbunyi “curiosity kills the cat, but satisfaction brought it back.” Maka, apalah sangat rasa malu bertanya berbanding kepuasan hati yang bakal aku kecap.

     Mulanya, wajah mereka kelihatan sedikit terkejut dengan soalan aku yang sungguh tiba-tiba dan seperti begitu random itu. Namun, seketika cuma. Sesaat dua kemudian, salah seorang daripada mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku. Aku sempat curiga tapi bagaikan ada yang mengawal gerak tubuhku, aku dengan patuh menyambut huluran itu sambil anak mataku masih tekun memandang wajahnya yang sungguh lembut itu.

“My name is Ain. Ain Amani.” Ujarnya seraya memperkenalkan dirinya sambil menggenggam tanganku dengan lebih erat. Pegangannya sangat padat dan kejap. Dalam aspek psikologi, ini menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang berkeyakinan tinggi dan tetap pendirian. 

“Lily.” Aku memperkenalkan diriku dengan hanya sepatah perkataan – dengan hanya potongan awal namaku yang sungguh universal itu. Ain dan temannya mengangguk sebagai reaksi atas pemberitahuan aku itu. Ain senyum lebar.

“Dengan nama aku tu, obviously-lah aku malay, kan?” Ujar Ain sambil melepaskan genggaman tangannya. Aku ketawa kecil sambil mengangguk. Selepas memandang wajahnya secara terus ini, baru aku perasan bahawa matanya sungguh bulat. Memang bukan mata cina tipikal yang sering aku lihat. Jelas lagi dia miliki double eyelid yang sangat cantik!

“Yeah, I thought you both are Chinese. But, your malay impressed me. Tak pelat langsung.” Aku melahirkan rasaku. Ain ketawa kecil. Meskipun tawanya kecil, matanya yang tadi bulan penuh kini nyaris jadi anak bulan. Kalau garis matanya boleh hilang, memang anak bulanlah jadinya.

“But still, you should impress anyway. She is Angeline Feelin’ Yang. Just call her Angel. Chinese; obviously.” Aku ternganga. Angel yang duduk di hadapanku ketawa tanpa suara. Tangan kanannya menutup mulutnya yang separa ternganga. Adakah reaksiku ketika ini sungguh lucu? Ya, aku yakin wajahku sangat kelakar sekarang. Pasti rahangku jatuh hingga paras dada dan mataku terjegil hingga nyaris tersembul keluar dari bulatan soketnya. Bila membayangkannya, aku sendiri rasa diri aku sungguh kelakar tahap dewa. Maka, tanpa dibuat-buat aku turut

Maka, tanpa dibuat-buat aku turut sama-sama ketawa.


“Cup,..cup,.. Serious your name is Angeline Feeling Young? Kidding, ain’t it?” Aku bertanya lagi setelah tawa reda. Sekali lagi gadis berdua itu tertawa. Mudah terhibur sungguh. Saya suka,… saya suka,…!

No comments:

Post a Comment