IRASSHAIMASE!!!!!

Wednesday 21 March 2018

Akustika Cerita Kita_fragmen 3


     Aku tak tahu berapa lama mata aku terpaku di situ. Bukannya aku tak pernah bertentang mata dengannya. Malah jauh lebih lama juga pernah. Matanya itu, masih sama dengan mata yang dulunya mesra memandang aku. Mata yang kelihatan buram namun bersinar pada masa yang sama sering buat hatiku rasa bagai digaru terujanya. Mata yang selalu buat aku rindu. Mata yang pernah menakung air mata kerana aku.

     Aku tak tahu apa yang aku rasa. Gembira, teruja, sedih, rindu, dan entah apa lagi bercampur-baur semuanya. Hasil rasa yang entah apa.

    Dadaku bagai ada batu yang menghempap dari dalam, terasa sesak. Penuh entah dengan udara atau apa lagi yang mungkin. Tubuhku rasa kebas dan bengkak bagai membesar dengan tiba-tiba hingga jantungku terpaksa berkerja dengan dua kali atau mungkin tiga kali lebih keras untuk memompa darah merah yang tugasnya membawa oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh demi memasti jasad tetap hidup. Sakit dan lelah bergaul dan bertolak tarik dengan ganas hingga air mataku rasa seperti ingin menitis dek rasa yang tak termengertikan. Aku ingin berlari selaju-laju mungkin. Mendekatinya. Memeluk erat tubuhnya. Takkan lepas sampai bila-bila.

Aku rindu.

Sungguh.       

Terlalu rindu.

     Tengkuk yang lenguh aku tepuk-tepuk lembut dengan telapak tangan. Biar hilang tegangnya. Sambil tanganku masih ligat menyelak sehelai demi sehelai halaman buku History of Malaya karya sejarah Malaya yang begitu lagenda oleh Andaya Anderson, fikiran aku sebenarnya sedang menerawang menuju ke masa lampau yang cuba aku kuburkan sebagai khazanah bersejarah.

“Nama dia Izfar. Serius handsome, dowh. Tapi, spesies budak-budak baik sikitlah. Bukan so-called bad boy macam yang kau nak. Tapi appearance dia a lil’ bit bad boy, I guess. Selebihnya aku jamin memang taste kau punyalah. In my eyes, dia unik in general.” Ujar Fidelya dengan teruja. Beria-ia sangat dia. Cara dia cerita macamlah dia dah kenal lama sangat dengan ‘orang itu’. Matanya aku pandang lama. Senyum nipis aku ukir.

Define ‘unik’ tu macam mana.” Dengan nada arahan aku membuat permintaan. Dell pejam mata sejenak. Mungkin cuba mencari idea atau perkataan yang sesuai untuk menunaikan ‘permintaan’ku itu.
Dell ukir senyum panjang. Aku angkat kening minta penjelasan.

“Macam aku cakap tadi, despite of perangai budak baik dia tu, appearance dia, memang bad boy. Macam kalau kau tengok dalam TV la. Macam pandangan mata macam ais; muka kerek; pakaian pun macam jenis tak ikut peraturan macam tu la kot. Aku tak berani nak pandang beria sangat takut jatuh cinta. Kesian dekat my hubby,…” Dell sengih gatal.

“Oh, so sweet, Dell. Just like peguins couple. Setia.” Aku mengusik. Dell mencubit lenganku. Sakitnya, ya ampun. Dia memang pantang orang sebut fasal penguin sebab masa sekolah rendah dulu, orang panggil dia pingu sebab dia pendek. Entah dari celah mana datang kalsium kemudiannya, lepas akil baligh, tulangnya memanjat-manjat tinggi. Sampai tahap mak dia doa supaya dia berhenti meninggi.

“Sekarang aku tinggi, okay!” Dell bela diri. 

"Ah, of course. Its obvious, dear. Ada aku cakap kau Pingu lagi ke?" Ujarku disertakan dengan senyum mengusik sambil buat muka tak hairan dengan segala bentuk bela dirinya. Belum sempat Dell bagi jawab balas, dengan anak mata menghala ke atas, dengan tapak tangan ke atas, tangan aku lambai-lambaikan tanda “Sambung cerita Dell kalau itu yang kau nak. Tapi, aku tak jamin aku akan dengar baik-baik mahupun meng-consider-kan kau punya idea. Tapi takpe, kau cerita je.”

“Kenapa unik? He is mysterious. You can’t read what’s in his mind.” Mujur saja Dell jenis yang tak ambil port. Dia seorang yang berpotensi besar untuk berjaya sebagai seorang jurujual, agen insuran dan kerjaya-kerjaya lain yang bidangnya meyakinkan orang. Mudah kata, kalau dia mahu cerita, aku tak bagi cerita pun dia akan cerita. Rasanya, kalaupun aku tekup mulutnya dengan tapak tangan, dia akan tetap menyambung cerita tanpa gagal. Tipsnya, kalau kalau suatu hari nanti bila-bila kalau anda terjebak dengannya, dan tersangkut dalam ceritanya yang lebih panjang daripada telenovela Latin, dan anda sudah hilang daya untuk teruskan mendengar, pekuplah telinga dengan tangan dan lari selaju arnab sambil berdoa bahawa dia tidak mengejar.

“Tapi, once aku bercakap dengan dia, baru aku tahu dia tu ‘softy’ sikit.” Cerita Dell dengan anak matanya naik ke kiri tanda dia sedang cuba mengingat keadaan semasa dia berbual dengan Izfar. 
Aku kerut kening. Huh? Bangkai, Dell!!

Softy? Maksud kau dia tu,…” Soal aku sambil melipat siku dan melentik jemari sedikit sambil membuat wajah tipikal gaya seorang lelaki lembut yang selalu aku lihat dalam filem Melayu. Aku buat muka jengkel. Serius? Kau nak kenalkan aku dengan,…serius, Fidelya?

“Bukan pondan la!” Ujar Dell geram. Laju tangannya menyekeh tepi kepala aku. “Bongok bertingkat-tingkat la kau ni. Takkan la aku nak suruh kau couple dengan pondan. Kau tu dah la ganas macam kerbau. Kalah dia kena gusti dengan kau nanti.” Marah benar Dell gayanya. Muka sedikit masam. Aku sengih mengusik sambil menggosok kepala yang sedikit perit. Dell ketuk tidaklah sekuat mana. Tapi, buku jarinya, tajam dan keras minta ampun. Apa tidaknya, jemari dan buku tangannya hanya bersalut kulit – ya, tentulah ada sedikit urat, saraf dan otot nipis buat syarat boleh bergerak. Mudah kata, kalau anggota badan boleh dikategorikan sebagai senjata berbahaya yang dilarang dibawa keluar, Dell di depan aku adalah seorang wanita kudung kaki tangan sebab semuanya akan disita.

“Mana la tahu,… Kau tu bukan boleh percaya sangat.” Ujarku sambil mencuit pipinya. Isyarat memujuk.
Dell sengih. Serentak dengan itu, tangan kirinya naik buat garu kepala yang aku pun tak tahu gatal atau tidak sebenarnya.

“Hal lain kau tak payah percaya kat aku. Untuk makluman kau, dalam banyak-banyak hal, aku pun tak percayakan diri aku. Tapi pasal carikan jodoh orang,…ini,…akulah lagendanya.” Ucap Dell mendegar-degar. Dadanya dikehadapankan sedikit. Mendabik dada. Hujung jemarinya menepuk dada melebih-lebihkan lagi tampak rasa bangganya. Suaranya juga dibesarkan dengan meluaskan bukaan tekak dan merendahkan nada suaranya.

“Macam kingkong, kau tahu? Tapi versi ikan bilis ekstra kering.” Aku mengusik. Dell mencubit kuat pipiku yang masih berbekas sengih. Geramlah tu. Nasib baiklah pipi aku ni berdaging. Jadi, tidaklah sakit sangat.

Okay, sambung penjelasan kau tadi.” Aku malas melayan. Sengaja menunjukkan wajah bosan. Dell masih sengih. Jelas, tanpa mempedulikan wajah bosanku, dia tetap teruja.

“Maksud aku, softy tu,.. dia macam sangat bersopan tau. Lembut sangat. Macam kalau dia bercakap, aku rasa, jenis yang tak suka cakap kotor. Jenis yang mak-mak mertua suka. Macam tu. Tapi tu apa yang aku nampak la. Sisi gelapnya, Iwan cakap dia tu tak banyak cakap. Sebab tu perempuan susah nak ‘lekat’. So, kau kena berusaha untuk buat dia bercakaplah.” Ujar Dell lagi. Gayanya memang macam tipikal ‘mak jemah’ sekarang.

“Tapi elok la pasang dengan kau yang asyik tok-tek-tok-tek 24/7 tu. Kalau dua-dua banyak cakap, karang kena baling kuali pulak dengan jiran pasal suami isteri bising tak habis-habis cakap sampai tengah malam.” Aku ketawa. Entah apa-apalah Dell ni kalau bagi dia bercakap. Dia yang mulut becok kalah burung murai, lagi nak kata orang pula.

So, macam mana.” Tak menyabar-nyabar Dell minta kata putusku. Serius nak keputusan on the spot, weh?

“Malas la, weh.” Aku jawab malas. Sumpah aku malas sungguh nak bercinta (la sangat). Sebabnya? Sakit hati sebab bekas kekasih aku curang dengan budak sekolah sebelah yang lagi lawa pun tak hilang lagi. Kalau ikutkan, aku taklah suka sangat pada mamat itu, tapi, pecurang memang selayaknya dibenci.

Menurut Dell, kawan Iwan itu, si Izfar juga baru putus cinta. Maka, menurut Dell dan Iwan, sesuai sangatlah kalau kami dipasangkan. Sama-sama sedang patah hati. Sama-sama pernah rasa sakitnya terluka berdarah-darah dalam hati. (Sorry sikit. Aku frust sikit aje okay!) Makanya, kami akan saling memahami, akan saling lebih menghargai, akan lebih bertoleransi dan tidak akan menyakiti satu sama lain. (Perhatian: Dell suka menonton drama tak kira bangsa dan bahasa. Sebab itu, dia sedikit dramatisme bab cecintun ni.)

“Kau cuba je la, beb. Serius aku cakap, Izfar tu, lima bintang aku kasi. Cool dia meleleh-leleh. Kalau aku takde Iwan aku memang sambar dia laju-laju. Tapi kalau aku tak kenal Iwan macam mana pulak aku nak kenal dia, kalau aku tak kenal dia macam mana aku nak kenalkan kau dengan dia kan, kan?” Bersungguh-sungguh benar si Dell memujuk. Sampai bulat-bulat matanya bercerita. Bahasa badan, mimik muka dan gerak tangan apatah lagi. Sempat pula tu buat lawak bodoh di hujung penjelasan. Menghiburkan sungguhlah minah becok ni. Aku ketawa kecil.

“Kau ni kalau cakap,…merapu je.” Aku malas melayan. Pen warna-warni yang kononnya dibeli untuk membuat peta minda yang kini merata-rata bergolek atas meja studi aku kutip satunya. Buat melakar-lakar sesuatu atas lipatan kertas yang kebetulan tersadai di pinggir meja.

“Cuba je,…” Dell terus memujuk. Dua matanya dikelip berkali-kali. Berlagak comel.

“Beb, cuba tu bukan kira dah mula ke? Aku malaslah. Let’s say-lah aku ‘cuba’ dan tiba-tiba aku rasa kita orang ni tak ada chemistry…. So,…clash-lah? Macam tu? Lepas tu kalau dia memang dah tersuka kat kawan kau yang ‘cantik menarik kau memang da bom’ ni lalu patah hati?” Itu yang aku jawab petang itu dengan nada yang penuh berlagak sekali. Tapi nampaknya, Dell telah menjampi aku agar bersetuju dengan idea peliknya itu, malam itu juga aku sudah berbalas-balas mesej dengan Izfar. Impresi aku terhadapnya ketika itu: Dia menarik, sedikit kelakar namun sangat sopan; sama seperti yang Dell katakan. Kami tidak pula saling mengirim gambar sebab aku yakin gambar aku tanpa izin pun sudah Dell atau Iwan beri padanya. Sama macam si Dell bersungguh-sungguh memaksa rela aku melihat foto lelaki itu senja tadi. Walhal, gambar itu hanyalah gambar selfie beramai-ramai yang sang pemilik tubuh hampir tersembunyi di sebalik kekaburan kamera dua poin kosong megapixel telefon selular yang tukang ambil gambar itu tangannya menggeletar.

No comments:

Post a Comment